Jabatan

Profil

SEJARAH PENUBUHAN

Pendang merupakan sebuah daerah dalam Negeri Kedah Darul Aman yang diwartakan pada 1 Februari 1975.  Nama Pendang berasal daripada perkataan “pendiat” yang bermaksud parit atau lubang yang dibina khas untuk menangkap gajah. Gajah-gajah yang telah dijinakkan dimandikan di sebuah telaga iaitu telaga gajah yang terdapat berhampiran Balai Polis Daerah Pendang. Keluasan bagi Daerah Pendang ialah 62,929 hektar atau 629.29 kilometer persegi dan terbahagi kepada 8 mukim. Daerah Pendang meliputi kawasan tanaman sawah dan kawasan tanaman getah yang luas serta mempunyai penduduk berbilang bangsa dan agama yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India dan Siam. Sistem pentadbiran Daerah Pendang ditadbir oleh Pejabat Tanah Dan Daerah Pendang dan Majlis Daerah Pendang serta turut dibantu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Pendang dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

 

Pada sejarah awal penubuhan, JKR Daerah Pendang dikenali sebagai JKR Kedah Utara yang merangkumi beberapa daerah di bahagian Utara Negeri Kedah dan disusuli dengan JKR Daerah Pendang/Yan merupakan gabungan dari dua buah daerah di Negeri Kedah iaitu Daerah Pendang dan Daerah Yan. Lokasi awal penubuhan JKR Daerah Pendang/Yan terletak di Pekan Pendang di dalam kawasan Pejabat Tanah Dan Daerah Pendang bersama-sama Pejabat Agama Daerah Pendang.

 

Namun demikian, pada tahun 2017 telah berlaku penstrukturan semula JKR Daerah Pendang/Yan dimana ianya dipisahkan kepada dua buah daerah yang berasingan dan dinamakan kepada JKR Daerah Pendang. Lokasi baharu pejabat JKR Daerah Pendang terletak bersebelahan dengan Klinik Kesihatan Pendang.